Sunday , September 25 2016
Home / Dunia Artis / Hujan semakin mengganas

Hujan semakin mengganas

hujan3

Petikan diambil dari Harian Metro

HADIRNYA band indie seperti Hujan dalam arus perdana hiburan tanah air mencetuskan satu fenomena, mengisi ketandusan karya muzik tempatan sekali gus membuka laluan kepada lebih ramai penggiat muzik bebas untuk mencipta nama secara lebih meluas.

Namun, entah mengapa tindakan mereka itu seakan-akan memakan diri sendiri apabila Hujan dikatakan tidak lagi dihormati pengikut ‘underground’ yang masih terikat dengan pemikiran skeptikal dan menganggap muzik underground hanya berhak dinikmati golongan tertentu saja.

Pembabitan band indie dalam arena arus perdana disalah tafsir dan dianggap melanggar prinsip kerana mengejar glamor walhal jarang yang melihatnya sebagai satu usaha mengembangkan muzik serta kemampuan luar biasa golongan kreatif ini.

Bagi peminat yang berpatah arang mahupun menentang Hujan, vokalis kumpulan ini Mohamad Noh Salleh atau Noh, 24, berkata, itu bukan lagi sesuatu yang perlu difikirkan kerana mereka ada misi lebih penting yang perlu difikirkan.

hujan2
KERJA KERAS.. Hujan akan menjelajah seluruh negara untuk promosi Mencari Konklusi

“Itu hak mereka. Apa yang boleh saya katakan, mereka tidak melalui apa yang kami lalui dalam mengharungi kehidupan sebagai anak seni. Lagipun, yang berkata begitu bukan pemuzik. Sekarang ini Hujan akan menerima teguran yang positif saja demi kemajuan karier muzik kami,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album kedua, Mencari Konklusi, baru-baru ini.

Akui Noh, meskipun mengembangkan karier di arena arus perdana yang memungkinkan mereka berhadapan pelbagai kontroversi bertentangan prinsip penggiat bebas, Hujan sedikit pun tidak berubah.

Mereka masih menghormati peminat seperti sahabat sebagaimana dulu. Malah, terus menghasilkan lagu dan menerbitkan karya mereka sendiri.

“Kami tidak pernah menandatangani kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman kerana tidak mahu ada campur tangan dalam soal pembikinan muzik kami.

“Disebabkan itu, kami hanya bekerjasama untuk edaran album saja seperti usaha sama yang dijalinkan dengan syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) sebelum ini dan sekarang Metadome membantu kami dalam penjualan digital. Kami juga membantu dan menanggung kos promosi album,” katanya.

hujan1

Pada majlis pelancaran Mencari Konklusi di Hard Rock Cafe, Hujan turut memperdengarkan lagu baru mereka seperti Sangkar Besi Hatiku, Romantik dan Mencari Konklusi. Album terbaru ini kedengaran sedikit asing dan berbeza daripada apa yang pernah ditampilkan sebelum ini.

Selepas memikat perhatian dengan lagu balada yang kuat dengan unsur alternatif rock seperti Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada, perubahan yang dilakukan dalam album kedua ini lebih agresif. Pendek kata, Hujan semakin mengganas.

Kata Noh, album pertama dulu dikira lebih versatil kerana terdapat pelbagai genre muzik walaupun lagu balada lebih menyerlah.

“Cara kami menerbitkan album itu juga berbeza apabila mengumpul semua EP lagu lama kemudian memuatkannya dalam satu album. Namun, untuk pembikinan album kedua ini, semua lagu adalah baru dan tidak pernah diedarkan di mana-mana.

“Penampilan muzik kami juga lebih agresif dan inspirasi kami peroleh sewaktu membuat persembahan di United Kingdom tidak lama dulu. Tidaklah meniru, tetapi sekadar mahu mencuba sekali gus mengikuti trend muzik global.

“Mengelak peminat berasa bosan, Hujan sendiri memutuskan untuk tampil lebih gagah, garang dan energetik di pentas setiap kali membuat persembahan.

“Apa yang boleh saya katakan untuk pembikinan album ini kami lebih fokus dan menemui konsep sesuai yang akan menjadi panduan kepada karya kami seterusnya,” katanya.

Mengenai risiko yang harus dilalui apabila memilih untuk tampil dengan perbezaan besar, Noh menegaskan, inilah masanya untuk menilai siapakah peminat setia mereka.

“Saya buat lagu ikut kemahuan diri atau syok sendiri kata orang (ketawa). Bagi saya tiada masalah pada perubahan yang dilakukan selagi masih mengekalkan identiti Hujan.

“Melaluinya kita dapat menilai apakah peminat kita itu sebenarnya peminat yang setia? Kami percaya andai mereka pengikut tegar Hujan, kami akan terus mendapat sokongan daripada mereka tidak kira apa pun perubahan dibawa,”

Mencari Konklusi mula berada di pasaran sejak 18 Ogos lalu dan ia terbitan Noh Phrofile. Untuk album ini, Hujan bekerjasama dengan Metadome yang akan membuat promosi dan memasarkan album itu secara digital.

Menampilkan tujuh lagu, selain Mencari Konklusi, ia turut memuatkan 2ndairwave, Obsesi, Kau Harus Ada, Benci Romantik dan Sangkar Besi Hatiku.

Mengapa hanya tujuh lagu dimuatkan tidak seperti album pertama 10 lagu? Noh berkata, memandangkan keadaan penjualan album secara fizikal kurang memberangsangkan, tujuh adalah angka paling ideal.

“Untuk apa kami bazirkan lagu dengan memuatkan 10 lagu sedangkan sudah tahu realiti industri muzik.

“Lebih baik lagu kami simpan dan gunakan untuk pembikinan album seterusnya kerana proses menyiapkan satu lagu termasuk

mastering dan mixing menggunakan modal yang besar,” katanya.

Terbaru mengenai kumpulan ini, Hujan dipilih sebagai ‘Artiste Of The Month’ oleh Maxis bagi Oktober sekali gus menjadi muka depan ‘webpage’ dan ‘wap page’ Maxis.

Hujan yang dianggotai AG selaku pemain gitar utama, Am@Acer (dram), Dimas (keyboard) dan anggota baru, Izzat (gitar), akan mengadakan siri jelajah di seluruh Malaysia bermula di Singapura pada 7 Oktober lalu, diikuti Universiti Malaysia Perlis, Kangar (16 Oktober); Carnivall Kelab Golf Cinta Sayang, Sungai Petani (17 Oktober) dan Hard Rock Hotel, Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Seterusnya ke Taiping dan Ipoh pada 23 dan 24 Oktober diikuti Kuala Terengganu (31 Oktober), Kuantan (1 November) dan Melaka (8 November). Hujan juga merancang mengadakan siri jelajah di Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu dan Tawau termasuk Indonesia tidak lama lagi.

Ditanya apakah mereka yakin persembahan jelajah ini akan mendapat sambutan tambahan pula kebelakangan ini tersebar berita kononnya peminat memulaukan peminat.

“Tidak kisahlah walaupun cuma tiga orang yang menonton, kami tetap akan meneruskan persembahan kerana siapa tahu mereka inilah yang menyumbang pada kejayaan karier muzik kami.

“Kami amat menghargai sokongan ‘Raingers’ (peminat) dan mahu memanfaatkan peluang itu untuk bertemu dan menghiburkan mereka.

“Contohnya, persembahan di Singapura yang kami jayakan baru-baru ini. Terus-terang kami ke sana hanya untuk memperkenalkan nama Hujan dan tidak pernah fikir berapa jumlah penonton yang datang menyaksikan persembahan kami.

“Namun, kami terkejut kerana sambutan diberikan di luar jangkaan. Ini memberi keyakinan siri persembahan jelajah ini mampu memperkenal dan mendekatkan sebuah band itu dengan peminat mereka,” katanya.

Tags

About Musalman

Seorang jejaka yang dahagakan berita artis. Kacak bergaya dan disegani ramai. Lagak menghisap rokok sahaja membuktikan dia seorang yang optimis.

Check Also

03-instagram-umie-aida-digodam-mediamalaya

Giliran Instagram Umie Aida Pula Digodam (4 Gambar)

Dah semacam trend pula selepas akaun Instagram seorang selebriti digodam, ia berturut kepada selebriti lain. ...

5 comments

  1. HUJAN MENGGANAS HUJAN AIR BATU LER TU

  2. x minat…popular tol diorg ni. aku je kot kurang minat ngan muzik yg diorg bwk sbb terserlah keindonesiaanngggg.
    Kpd mangsa2 tragedi gempa di Indonesia, Takziah, dan kpd yg kureng asam reka2 blog kutuk Malaysia, hmmm sendri mau ingat la yerk. xde untungnye gaduh2 sesama 'jiran tetangga', last2 kitaorg gak yg simpati and hulurkan bantuan kpd korang bile korang ditimpa bencana alam. Ya Allah, selamatkan dan jauhkan bumi Malaysia ini dan sekitarnya dr apa2 bencana …aminnnn

  3. wlaupe pown dorg ckp sal hujan
    ak ttp sokng korg ,huhu 1 luv hujan chaiyuk!!!!

  4. xminat..boringg ;p

  5. Hidup HUJAN….
    smOga sUcsEs dlm bidg nyanyian….
    Indie ttp Indie…..
    wt y t'baek….
    Go HUJAN…..

counter statistics