pemenang program realiti Akademi Fantasia 6, Stacy Angie difahamkan telah disahkan oleh doktor bahawa menghidap virus selsema burung (virus H1N1). Melalui temubual bersama akhbar Kosmo!, Stacy mula menyedari dia kurang sihat beberapa hari sebelum membuat persembahan pada malam Anugerah MeleTOP Era tempoh hari.

Namun begitu, gambar terbaru Stacy dilihat sudah tidak memakai mask berkemungkinan dia sudah kembali sihat. Namun kenyataan rasmi belum dikeluarkan pihak Stacy.

Ikuti temubual akhbar Kosmo! bersama Stacy selepas ini.

Sejak bila anda disahkan dijangkiti virus Influenza A (H1N1)?

STACY: Saya mula demam, batuk dan selesema sejak beberapa hari sebelum membuat persembahan pada malam anugerah MeleTOP Era. Ketika itu, saya anggap hanya demam biasa sahaja. Walaupun saya telah makan ubat, namun, suhu badan tetap tidak turun. Jadi, pada malam tersebut, saya terpaksa menggagahkan diri untuk mengadakan persembahan.

Jadi, bila anda pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan?

Saya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan pada hari Ahad lalu. Ketika itu, demam yang saya alami masih kuat, tekak pula semakin perit dan sendi-sendi terasa sungguh ngilu. Badan saya berasa sangat sakit sehingga saya tidak mampu untuk bergerak. Doktor di klinik tersebut mengesahkan bahawa saya dijangkiti virus Influenza A.

Apakah tindakan anda selanjutnya?

Kemudian, saya pergi ke sebuah hospital di Subang, Selangor untuk membuat pemeriksaan darah. Doktor di sana memberi saya suntikan bagi mengurangkan demam dan beberapa jenis ubat untuk dihabiskan dalam tempoh lima hari. Saya juga diminta untuk datang semula selepas tempoh itu untuk membuat pemeriksaan selanjutnya.

Bagaimana dengan keadaan anak angkat anda, Bella De Luna Valentina, dua tahun, setakat ini?

Saya agak risau kerana Bella sudah menunjukkan rasa kurang sihat. Badannya sedikit panas dan sudah mula menunjukkan simptom selesema. Jadi, saya akan membawanya ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin.

Anda membawa anak anda bersama pulang ke Sabah?

Ya, saya ada membawa Bella bersama. Tujuan kami balik ke Sabah kerana ingin menyambut hari lahir Bella pada 14 Februari ini. Saya sangat berharap agar Bella sihat dan tidak dijangkiti virus yang sama.

Adakah anda pernah mendapatkan sebarang suntikan vaksin untuk menghalang dijangkiti virus berkenaan beberapa tahun lalu?

Ya, sewaktu virus H1N1 melanda negara tidak lama dahulu, saya ada mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan dijangkiti penyakit itu. Saya kurang pasti mengapa saya masih berisiko untuk dijangkiti virus berkenaan.

Buat masa ini, apa langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan risiko jangkitan pada orang lain?

Sekarang saya mengikuti nasihat doktor dengan banyak berehat di kampung. Suhu badan mulai turun dan saya juga dimestikan untuk memakai topeng muka setiap masa agar virus ini tidak berjangkit dengan ahli keluarga yang lain.