t3

t4

KUALA LUMPUR: Sudah dua minggu bapanya meninggal dunia, namun penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 30, masih merinduinya.

Perasaan rindu terhadap insan bernama Tarudin Ismail, 67, jelas memberi kesan kepada Siti apabila berat badannya menurun mendadak.

Wartawan dan orang ramai yang menghadiri majlis pelancaran buku tulisan Aziah Jasmin Azizul, The Pink Book di MPH, Mid Valley, petang semalam, terkejut melihat susuk badan penyanyi kesayangan ramai itu.

Majlis itu yang pertama dihadiri Siti sejak pemergian bapanya ke rahmatullah pada 15 Februari lalu.

“Saya memang terasa kehilangannya hingga hilang selera makan. Pemergian abah bukan dalam keadaan yang saya sudah bersedia…ia berlaku tiba-tiba. Saya perlukan masa untuk memulihkan perasaan sedih ini.

“Abah tidak pernah muncul dalam mimpi sejak dia pergi, tapi setiap kali teringat, saya cepat-cepat sedekahkan al-Fatihah. Walaupun abah sudah tiada, doa dan ingatan saya terhadapnya menjadi pengganti serta hadiah semoga dia tenang di sana.

“Abah tidak pernah saya lupakan dan memori bersamanya juga tidak akan padam,” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Sebagai menghormati pemergian bapanya, Siti berkabung selama 40 hari, sekali gus menunda pembabitannya dalam pelbagai program dan persembahan yang sudah dipersetujui.

Sebahagian daripadanya program televisyen iaitu Konsert Jomheboh (TV3), Zoom In Siti (TV2), AC Disini (Astro) dan Kelab Pop (Astro).

Bagaimanapun, untuk Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1430 Hijrah di Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini, Siti memberikan komitmen, sekali gus berganding bahu bersama kumpulan Rabbani, Amy Search, Mawi, Akhil Hayy dan Datuk Siti Nurbahyah Mahmud.

Kata Siti, konsert itu bersempena Maulidur Rasul, jadi dia tiada masalah mengambil bahagian, apatah lagi konsep persembahan berbentuk keagamaan dan kesedaran.

“Kebetulan, konsert berbentuk amal itu saya melihatnya sebagai program yang murni,” katanya yang kagum melihat ibu tercinta, Salmah Bachik, 57, kerana tenang mengharungi detik memilukan.

Siti ada mengajak ibu tinggal dengannya di sini, tetapi dia memilih berada di kampung bersama adik.

“Siti kagum dengan emak kerana dia tenang, sabar dan langsung tidak menunjukkan kesedihannya di hadapan kami walaupun kami adik-beradik tahu emaklah paling merasai kehilangan abah,” katanya.

Bagi memenuhi hasrat arwah yang tidak kesampaian, Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa akan mengusahakan syarikat berasaskan pertanian di Kuala Lipis.

“Saya sudah membeli tanah di Kuala Lipis, malah permohonan arwah untuk membuka syarikat yang diberi nama Saldin Sdn Bhd (singkatan Salmah dan Tarudin) juga sudah diluluskan.

“Namun hajatnya untuk melihat perniagaan itu diusahakan tidak kesampaian dan sebagai anak, saya mahu merealisasikan impiannya itu,” katanya dengan suara sebak.