ajal-tuhan-tentukan1

Wartawan dan jurugambar yang membuat liputan kemalangan maut di Kilometer 267.9 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), di sini, semalam, sempat merakam detik cemas seorang penunggang motosikal yang terbabas dan nyaris digilis puluhan kenderaan yang bergerak laju.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, penunggang motosikal berusia lingkungan 20-an itu hampir terpelosok di bawah treler selain nyaris dilanggar puluhan kenderaan.

Kejadian itu turut disaksikan polis dan pasukan peronda lebuh raya yang berada di tempat kejadian seorang kelindan lori yang maut dilanggar kenderaan beberapa minit sebelum itu.

Polis yang berada di situ segera menahan kenderaan bagi mengelak terlanggar mangsa yang berada di tengah lebuh raya.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian menggeleng kepala kerana tidak menyangka lelaki itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Identiti pemuda itu juga tidak diketahui kerana secara kebetulan sebuah ambulans yang melalui tempat kejadian berhenti dan membawa mangsa untuk mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Sementara itu, dalam kemalangan maut kira-kira jam 1.30 tengah hari, seorang kelindan lori warga India yang dikenali sebagai Balasubramaniam, 22, maut selepas dilanggar kenderaan ketika berhenti di tepi lebuh raya.

Menurut pemandu lori, M Tamil, 35, dia terpaksa memberhentikan lorinya yang pancit tayar hadapan untuk membaiki kenderaan itu.

“Selepas meletakkan bakul di belakang lori untuk memberi isyarat kepada pengguna bahawa lori mengalami kerosakan, saya dan kelindan (mangsa) duduk di atas lori sementara menunggu bantuan tiba.

“Saya kemudian keluar daripada lori dan pergi ke atas bukit berhampiran untuk membuang air kecil. Ketika sedang membuang air kecil, saya terdengar bunyi seperti berlaku perlanggaran.

“Saya segera turun dan mendapati kelindan saya terbaring berlumuran darah di kepala kerana dilanggar kenderaan,” katanya.

Menurutnya, lori dipandunya dalam perjalanan dari Seremban ke Kepong dan mangsa sudah enam bulan menjadi kelindan lori.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.

“Polis masih menjalankan siasatan dan sedang mengesan kenderaan yang melanggar lelaki itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke HTJS untuk dibedah siasat dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Ahmad Khairi Roslan di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran.